Pages

Thursday 22 May 2014

Kursus Kecergasan diri pada 21 Mei



Sebagai seorang yang berkerjaya dan juga mempunyai keluarga, adalah sukar untuk seseorang itu kekal aktif sepanjang masa tanpa mengambil sebarang makanan tambahan (supplement).  Sebenarnya, selain daripada makanan tambahan, senaman juga boleh menjadikan seseorang itu kekal cergas sepanjang hari.  Ini adalah kerana dengan senaman, jantung akan menjadi lebih sihat dan darah dapat diedarkan ke seluruh badan dengan lebih lancar.  Walaubagaimanapun, kesibukan bekerja menyebabkan ramai yang tidak berkesempatan untuk melakukan aktiviti senaman.  Oleh itu, Kursus Kecergasan Diri telah diadakan untuk membantu staf di JMSK meluangkan masa mempelajari teknik-teknik senaman yang boleh dilakukan bagi mengekalkan tahap kecergasan diri masing-masing.
Kursus ini telah dikendalikan oleh En. Mohamed Rafi bin MS Solaiman, seorang pensyarah di JMSK yang juga merupakan pegawai di Unit Sukan.  Seramai 31 orang staf JMSK telah menghadiri kursus ini dengan berpakaian sukan.
Di dalam kursus ini, peserta telah diterangkan serba sedikit mengenai tips-tips penjagaan kesihatan bagi seluruh tubuh badan.  Peserta juga diterangkan mengenai jenis-jenis sukan yang sesuai disertai.  Sedikit demonstrasi senaman juga telah ditunjukkan.  Di akhir kursus, satu sesi praktikal telah diadakan di mana semua peserta dikehendaki melakukan aktiviti senaman yang dikatakan sesuai untuk meningkatkan tahap  kecergasan diri.
Diharap dengan kursus ini, semua peserta dapat memanfaatkan ilmu yang telah dikongsi dan cuba mencari waktu untuk melakukan senaman yang telah ditunjukkan supaya kekal cergas dan aktif sepanjang hari untuk menyelesaikan semua tanggungjawab yang diberi.

Thursday 1 May 2014

30 April




Kursus bahasa Isyarat
Politeknik Ibrahim Sultan bukan  sahaja istimewa kerana merupakan satu-satunya politeknik yang menawarkan program-program rekabentuk tetapi juga kerana mempunyai pelajar-pelajar istimewa iaitu pelajar-pelajar kelainan upaya yang cacat pendengaran ataupun bisu.  Pelajar-pelajar khas ini perlu mengambil kursus Aplikasi Komputer (BK101) di JMSK semasa berada di semester satu.  Walaubagaimanapun, tidak semua pensyarah berpeluang mengajar pelajar-pelajar tersebut kerana bilangan mereka yang sedikit.  Sungguhpun begitu, pelajar-pelajar khas ini sering datang ke pejabat samada mahu bertemu dengan pensyarah mereka ataupun ingin membuat jualan hasil dari aktiviti jabatan mereka.  Ini menimbulkan kesukaran kerana kebanyakan staf di JMSK tidak mempunyai kemahiran berbahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan mereka.


Oleh itu, Kursus Asas Bahasa Isyarat telah diadakan untuk melatih staf di JMSK supaya dapat berkomunikasi dengan pelajar-pelajar khas ini dengan menggunakan bahasa isyarat yang paling asas.  Kursus ini telah dikendalikan oleh Pn Siti Suhaila binti Samian dan dihadiri oleh 35 orang peserta. 
Walaupun kursus berlangsung hanya sehari, banyak perkataan-perkataan dalam bahasa isyarat yang telah dipelajari termasuklah nombor, kata nama, kata perbuatan dan perkataan-perkataan yang sering digunakan dalam kehidupan seharian.

Diharap dengan kursus ini, staf di JMSK dapat berinteraksi dengan lebih baik dengan pelajar-pelajar khas yang datang ke jabatan.  Kursus ini juga diharapkan dapat meningkatkan lagi kualiti diri staf di JMSK dengan menjadi insan yang luas pengetahuan dan serba boleh.

MAJLIS PERPISAHAN STAF JMSK: CIK HAFSAH BINTI KASTU DAN PN. SITI AMIRAH BINTI ABDUL RAHMAN

Majlis perpisahan ini diadakan untuk meraikan dua orang pensyarah JMSK yang akan berpindah iaitu Cik Hafsah binti Kastu dan Pn Siti Amirah binti Abdul Rahman. Cik Hafsah binti Kastu akan berpindah ke Politeknik Pagoh manakala Pn Siti Amirah binti Abdul Rahman akan berpindah ke Politeknik Mersing. Majlis ini berlangsung di Bilik Mesyuarat JMSK pada hari Selasa, 29 April 2014.

Majlis bermula pada 12 tengah hari dan dimulakan dengan kata-kata aluan dari Pengerusi Majlis dan seterusnya ucapan dari Ketua Jabatan JMSK iaitu Dr. Hjh. Siti Zunariah binti Mohd Said yang merakamkan ucapan terima kasih dan selamat maju jaya kepada mereka. Majlis diteruskan dengan ucapan dari Pn Siti Amirah binti Abdul Rahman diikuti oleh Cik Hafsah binti Kastu. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati serta jamuan makan tengahari. Majlis bersurai pada 2.30 petang.

Ketua Jabatan JMSK, Pn Hjh Dr Siti Zunariah Binti Mohd Said bergambar bersama staf JMSK yang berpindah, Cik Hafsah Binti Kastu dan Pn Siti Amirah Binti Abdul Rahman

Cik Hafsah memberikan ucapan selamat tinggal

Pn Siti Amirah memberikan ucapan selamat tinggal

Staf JMSK bersama-sama meraikan Majlis Perpisahan Staf JMSK